Pada zaman Nabi Muhammad SAW ada seorang pelawak bernama Nuaiman Al- Ansary. Nabi sangat sayang kepadanya kerana telatahnya yang lucu serta menghiburkan. Selain dari berbakat sebagai pelawak, Nuaiman juga seorang pahlawan yang pernah ikut serta dalam Peperangan Badar.
Pada suatu hari datang seorang lelaki menunggang seekor unta hendak berjump...a dengan Rasullullah SAW. Unta itu ditambatkannya di luar masjid. Sedang lelaki itu asyik berbual dengan Rasullullah SAW maka pelawak Nuaiman pun datang. Dan seperti biasa Nuaiman sentiasa menjadi perhatian orang ramai kerana telatahnya yang melucukan. Nuaiman tertarik melihat unta itu lalu orang ramai yang berada di luar masjid mengapi-apikannya.
“ Wahai Nuaiman, engkau adalah pelawak kesayangan Rasullullah saw. Cuba engkau sembelih unta itu dan nabi pasti akan membayar ganti ruginya,” kata orang ramai. Maka dengan segala kelucuannya Nuaiman menyahut cabaran itu lalu menyembelih unta tersebut. Dagingnya dibahagikannya kepada orang ramai yang berada di sekitar masjid. Tiba-tiba lelaki tuan punya unta keluar dari masjid lalu menjerit marah kerana unta kesayangannya sudah disembelih. Nuaiman berasa takut lalu lari menyembunyikan diri dalam sebuah kebun.
Nabi SAW menyuruh orang ramai mencari Nuaiman dan dibawa ke hadapan baginda. “ Kenapa kamu sembelih unta itu?” tanya Nabi Muhammad SAW. Dengan gaya yang melucukan Nuaiman pun menjawab,” Wahai Rasullullah SAW. Orang ramai yang menyuruh saya menyembelih unta itu. Mereka kata Nabi akan membayar ganti ruginya.”
Nabi Muhammad tersenyum melihat telatah Nuaiman. Baginda tidak marah sebaliknya membayar ganti rugi kepada tuan punya unta itu. Pada suatu hari yang lain, sedang Nuaiman berjalan di sebuah pasar, dia tertarik bila melihat sejenis makanan lalu Nuaiman berfikir alangkah baiknya kalau makanan itu diberikan kepada Rasullullah SAW. Tetapi ketika itu dia tidak mempunyai duit untuk membelinya.
“ Boleh saya bawakan makanan ini kepada rasullullah saw dan saya akan bayar kemudian,” kata Nuaiman dan penjual makanan itu setuju. Nuaiman menghadiahkan makanan itu kepada Rasullullah SAW. Sedang baginda menikmati makanan itu tiba-tiba penjual makanan datang menuntut bayarannya. “ Wahai Nuaiman, bukankah kamu yang hadiahkan makanan ini?” tanya Rasullullah SAW.
“ Semasa berada di pasar tadi saya nampak lelaki ini menjual makanan yang sedap lalu saya bercadang hendak menghadiahkannya kepadamu. Tetapi duit saya tidak ada untuk membelinya. Lalu saya berjanji akan membayarnya kemudian,” jawab Nuaiman masih dengan gayanya yang melucukan. Sekali lagi Nabi Muhammad SAW tersenyum lalu membayar harga makanan tersebut kepada lelaki itu.
Dari : Riwayat Abu Daud
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!”
i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.
ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.
iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat- buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.
Gelak ketawa dilarang Islam. Menurut pandangan Islam, bergelak tertawa adalah tidak baik dan makruh hukumnya. Ibn Mas’ud meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka melerek, iaitu tidak menoleh, kecuali dengan semua wajahnya. Hadis itu menunjukkan bahawa senyum itu sunat dan tertawa berbahak- bahak adalah makruh.
Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga. Menurut Yahya bin Muaadz Ar-razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seseorang Mukmin :-
(1) Kerana memikirkan akhirat
(2) Kesibukan mencari keperluan hidup
(3) Risau memikirkan dosa
(4) Apabila tibanya musibah dan bala.
Jika seseorang sibuk memikirkan perkara itu, maka dia tidak banyak tertawa kerana banyak tertawa bukan sifat seorang Mukmin. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a. “Sesiapa yang tertawa ketika membuat dosa, maka dia akan menangis ketika akan masuk neraka.” Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri dan kembali bertaubat kepada tuhan. Banyakkan menangis (kerana Allah) dari ketawa (yang sia-sia) itu adalah amalan yang lebih baik.
Azhan: Bagaimana lawak dapat mendekatkan diri kepada Allah? Adakah ketawa sekadar melepaskan sedikit tekanan dalam beberapa masa, sedangkan hati masih gundah gulana. Kadang2 penghibur sendiri tidak mampu menghiburkan hati yang gelisah.
No comments:
Post a Comment